Wednesday, April 16, 2014

Gantung sampai mati

Seorang anggota polis membawa keluar Zahidah Ahmad dari kamar mahkamah setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 15 April - Seorang wanita dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah dia dan adik perem­puan tirinya didapati bersalah membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal, dua tahun lalu.
Zahidah Ahmad, 27, menangis teresak-esak sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan tersebut manakala adik tirinya yang berusia 16 tahun ketika kejadian akan me­ngetahui hukumannya pada 28 April ini sementara menunggu laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, keterangan kedua-dua tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan mahkamah lebih mempercayai ke­­te­rangan saksi-saksi pendakwaan.
Katanya, saksi-saksi berkenaan memberi keterangan yang benar berbanding keterangan kedua-dua tertuduh.
Menurut beliau, dalam kes tersebut Zahidah yang merupakan tertuduh kedua telah bertindak kejam terhadap seorang wanita tua.
“Hanya ada satu sahaja hukuman terhadap tertuduh iaitu gantung sampai mati," kata beliau terhadap Zahidah yang memakai baju hijau dan bertudung.
Mahkamah memerintahkan tahanan terhadap adik tirinya dilanjutkan sehingga laporan akhlaknya diterima.
Sebaik sahaja selesai prosiding, kedua-dua tertuduh dilihat berpelukan sambil menangis manakala ahli keluarga mereka turut memeluk dan cuba mententeramkan mereka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua beradik tiri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian guru agama, Tanziah Zainuddin, 72, dengan cara menekup muka mang­sa dengan bantal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah No. 2, Lorong Kiyai Sujak, 20B, Taman Sri Wangi, Kapar di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 14 Julai 2012.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Semasa kejadian Zahidah tidak bekerja manakala remaja berkenaan masih menuntut di sekolah mene­ngah dalam tingkatan empat.
Terdahulu peguam, Tan Teck Yaw yang mewakili Zahidah memohon agar anak guamnya diberi peluang kedua-dua mereka untuk memperbaiki diri dan menjalani kehidupan baharu kerana telah insaf.
“Ini merupakan kesalahan pertama Zahidah malah semasa kejadian bukan kesemua perbuatan dilakukan olehnya," ujar beliau.
Sepanjang perbicaraan yang pendakwaannya dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie, sebanyak 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan masing-masing.
Berdasarkan laporan akhbar, pada awalnya kematian mangsa selepas ditemui diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kemudiannya dikebumikan.
Namun tiga hari selepas pengebumian guru agama itu, salah seorang ahli keluarga mendapati beberapa barang kemas milik mangsa hilang lalu membuat laporan polis.
Mayat Tanziah kemudian digali semula dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat lemas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140416/ma_01/Gantung-sampai-mati#ixzz2z49i3d4B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment